Kisah Pemuda Yang Bernama
‘Uzair
Pada suatu hari ketika ‘Uzair memasuki kebunnya yang menghijau
dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik
untuk memikirkan rahasia keindahan dan keajaiban alam ini. Sesudah memetik
buah-buahan dia pulang dengan keledainya sambil menikmati keindahan-keindahan
alam sekitarnya sehingga keledai yang ditungganginya tersesat jalan. Setelah
sekian lama barulah dia sedar bahwa dia telah berada di suatu daerah yang tidak
dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri.
Sebaik saja dia sampai ke daerah itu dilihatnya kampung itu baru
saja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rusak-binasa sama sekali. Di
tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia yang bergelimpangan yang
sudah busuk serta hancur. Melihatkan pemandangan yang mengerikan itu, dia pun
turun dari keledainya dengan membawa dua keranjang buah-buahan. Manakala
keledainya itu ditambat di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding
sebuah rumah yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu,
fikirannya mula memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.
“Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan
dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?”
Begitulah pertanyaan yang datang bertalu-talu da tidak terjawab
olehnya sehingga dia menjadi lemah-longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam
tidur itu, dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang
yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam
atau semalam, tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun selama
seratus tahun lamanya.
Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah ramai
lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam
masa seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah, manakal ‘Uzair tetap
terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh) yang tidak bernyawa
lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur
berderai.
Kemudian jasad ‘Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya yang
sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya masing-masing lalu
ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga ‘Uzair hidup kembali seperti dahulu.
‘Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur lantas dia mencari
keledai dan buah-buahannya di dalam keranjang dahulu.
Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat seraya
bertanya, “Tahukah engkau ya ‘Uzair berapa lama engkau tidur?”
Tanpa berfikir panjang ‘Uzair menjawab, “Saya tertidur sehari dua
ataupun setengah hari.”
Lalu malaikat pun berkata kepadanya, “Bahwa engkau terdampar di
sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring, berhujan dan
berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk dan juga panas
terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap baik keadaannya.
Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri pun sudah hancur dan
dagingnya sudah busuk.”
Berkata malaikat lagi, “Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh.
Demikianlah kekuasaan Allah. Allah dapat menghidupkan kembali orang yang sudah
mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur dan dengan semudah
itu pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati itu nanti di
akhirat untuk diperiksa dan diadili segala perbuatannya. Hal ini diperlihatkan
oleh Tuhan kepada engkau supaya iman engkau tetap dan engkau sendiri dapat
menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia
lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan Tuhan tentang
akhirat itu.”
Setelah ‘Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu,
maka ‘Uzair pun berkata, “Sekarang tahulah saya bahwa Allah itu adalah berkuasa
ke atas tiap-tiap sesuatu.” Tiba-tiba keledai yang sudah hancur berderai itu
dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti
sediakala yaitu hidup kembali bergerak-gerak dan berdiri sebagaimana sebelum
mati. Maka ‘Uzair pun berkata, “Sekarang tahulah saya bahawa Allah berkuasa di
atas segala-galanya.” Lalu dia pun terus mengambil keldainya dahulu dan terus
menunggangnya pulang ke rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar
untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala telah berubah. Dia cuba mengingati apa
yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah menempuhi berbagai kesukaran,
akhirnya dia pun sampai ke rumahnya. Sebaik sahaja dia sampai di situ, dia
mendapati rumahnya sudah pun buruk di mana segala dinding rumahnya telah habis
runtuh. Semasa dia memandang keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak seorang
perempuan tua, lantas dia pun bertanya, “Inikah rumah tuan ‘Uzair?”
“Ya,” jawab perempuan itu. “Inilah rumah ‘Uzair dahulu, tetapi
‘Uzair telah lama pergi dan tiada didengar berita tentangnya lagi sehingga
semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut namanya
selain kali ini sahaja.” Kata perempuan itu sambil menitiskan airmata.
‘Sayalah ‘Uzair,” jawab ‘Uzair dengan pantas. “Saya telah dimatikan
oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan sekarang saya sudah dihidupkan oleh Allah
kembali.”
Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun
berkata, “‘Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu
dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang
yang sakit tenat.” Sambunya lagi, “Saya ini adalah hambanya sendiri, badan saya
telah tua dan lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu menangis
terkenangkan ‘Uzair. Kalaulah tuan ini ‘Uzair maka cubalah tuan doakan kepada
Tuhan saya mata saya terang kembali dan dapat melihat tuan.”
“Uzair pun mendaha kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke
hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata orang rua itupun terbuka dan dapat melihat dengan
lebih terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan
kembali muda. Setelah merenung wajah ‘Uzair dia pun berkata, “Benar, tuanlah
‘Uzair. Saya masih ingat.” Hambanya itu terus mencium tangan ‘Uzair lalu
keduanya pergi mendapatkan orang ramai, bangsa Israil. ‘Uzair memperkenalkan
dirinya bahwa dialah ‘Uzair yang pernah hidup di kampung itu lebih seratus
tahun yang lalu.
Berita itu bukan sahaja mengejutkan bangsa Israil, tetapi ada juga
meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun berita itu
menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin
menguji kebenaran ‘Uzair. Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya
bertanya, “Saya masih ingat bahwa bapa saya mempunyai tanda di punggungnya.
Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah dia ‘Uzair.”
Tanda itu memang ada pada ‘Uzair, lalu percayalah sebahagian
daripada mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata,
maka mereka berkata kepada ‘Uzair, “Bahwa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas
bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci
Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal isi Taurat kecuali
‘Uzair sahaja. Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan sebutkan isi Taurat yang
betul.”
‘Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan
lancar serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka percaya
bahwa sungguh benar itulah ‘Uzair. Ketika itu, semua bangsa Israil punpercaya
bahwa dialah ‘Uzair yang telah mati dan dihidupkan semual oleh Tuhan. Banyak di
antara mereka yang bersalam dan mencium tangan ‘Uzair serta meminta nasihat dan
panduan daripadanya. Tetapi sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh
menganggap ‘Uzair sebagai anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak
samada ‘Uzair mahupun Isa kerana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka.
Janganlah kita was-was tentang kekuasaan Allah, maka hendaklah dia fikir
siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil sesuatu benda itu
terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakan. Kalau masih ada orang
yang ragu-ragu tentang kekuasaan Allah, obatnya hanya satu saja, hendaklah dia
membaca dan memahami al-Qur’an, was-was terhadap kekuasaan Allah itu hanya
datangnya dari syaitan.
Posting Komentar